Tuesday, August 31, 2010

Kuala Lumpur Glass Dalam Kenangan..

Sebelum aku teruskan dengan posting terbaru ni, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 53 negara kita! Semoga kita semua merdeka zahir dan batin, merdeka jiwa melayan hobi yang istimewa ini.

Semalam bro Nazrin mengajak aku jember ke KL Glass kerana baru-baru ni dia terserempak dengan tempat ni sewaktu pusing-pusing di kawasan sekitar mencari workshop keretanya. Aku sendiri pun dah lama nak jejak kaki ke tempat ni tapi tak jugak kesampaian, bagaikan ada je aral yang melintang. Awal tahun ni aku mendapat info dari seorang collector yang tersohor dengan tag line "kau jangan salah paham!" Dia bagitau aku dia baru je masuk KL Glass ni dan dapat macam-macam botol, kira botol-botol yang dia dapat tu hebat-hebatlah. Aku memang percaya cakap dia ni kerana pada masa dulu kebanyakan botol-botol di seluruh Malaysia ni akan dihantar dari kilang-kilang botol soda seperti National Aerated Water P.J. ke kilang KL Glass ni untuk dikitar semula kaca-kaca botol dan dibuat botol baru. Jadi kalau ikut sifir aku saki-baki botol-botol yang terlepas dari pembunuhan beramai-ramai tu memang ada.

Aku roger bro Sham tapi tak dapat, entah kemana dia menghilang, hari ni askar barisan depan kira takde la! Jadi aku dan bro Nazrin je lah jember dan buat pertama kali kami tercegat di depan pagar KL Glass pukul 9 pagi tadi. Tapi keluar je dari kereta memang kami terkejut besar kerana kilang ni lengang, bagaikan di langgar Geroda! Apa dah jadi?? Kami pun bertanyakan kepada pakcik sekuriti di situ. Rupa-rupanya kilang ni dah setahun tutup! Dah berbulan jadi padang jarak ni, dah tak beroperasi, kira dah bungkus! Adoi! apa cerita kawan aku tu yang cakap baru masuk sini dapat banyak botol?? Kau ni salah paham tak bro?? Entah kilang bunian mana la kau masuk tu! Kami mintak masuk tapi pakcik tu tak bagi, dia cakap kalau gudang tu runtuh atas kami sapa nak tanggungjawab?? Dramatik sungguh alasan pakcik tu. Nak tak nak kami merayau je la depan-depan pagar kilang ni..


Permandangan depan KL Glass.

Warehouse yang telah kosong.

Bro Nazrin merayau-rayau depan pagar mencuba sifir jember Pantai Timur..
Tapi nampaknya kat sini tak boleh pakai la sifir tu bro..

Lengang!



Sunyi sepi..


Pusing punya pusing(tempat yang sama!), merayau lebih-lebih kurang, maka kami terpaksa akur di hari sambutan kemerdekaan ni tiada rezeki untuk kami. Ingatkan boleh dapat botol-botol cun! Hampeh! Tapi inilah adat memburu botol, tak la selalu dapat botol, apalagi terkena 'jackpot'! Balik tangan kosong tu kira biasalah, janji puas hati. Maka aku dan Nazrin pun pangkah la lokasi ni, Kuala Lumpur Glass dah tutup, dah dalam kenangan..

Saturday, August 28, 2010

CHUAN AIK AERATED WATER FACTORY.

Aku terlepas pandang botol soda yang sebiji ni, berasal dari negeri Pahang jugak, jadi dah ada tiga bij botol berasal dari Pahang ni yang aku tahu. Chuan Aik Aerated Water Factory, beralamat 68 Main street Kuantan, cap burung merpati(aku rasa la!) salah satu penemuaan semula atau jejak kasih di Kelantan hari tu. Ini kerana botol cap burung merpati ni aku pernah dapat kira-kira sepuluh tahun yang lalu di Terengganu. Dulu aku dapat botol ni yang bersaiz 200ml dan yang terbaru ni pun bersaiz sama dan aku belum pernah lagi tengok yang bersaiz 400ml, kalau ada mesti gempak punya! Warna grafik pada botol ini memang retro habis, memang menarik perhatian. Geng-geng Pahang, siasat-siasat la Main Street Kuantan ni, mana la tau kan kot-kot ada rezeki kat situ..



Wednesday, August 25, 2010

KLUANG AERATED WATER JOHORE.

Botol ni juga kali pertama aku jumpa semasa mencari-gali di Kelantan baru-baru ni. Aku anggarkan keluaran botol ni dalam tahun 60an, jadi bayangkanlah proses perjalanan dari Johor ke Kelantan pada waktu tu. Walaupun perjalanan pada waktu itu aku rasa tidaklah sempurna macam sekarang tapi botol ini berjaya sampai ke Kelantan dalam keadaan yang sempurna.

Kluang Aerated Water Johore 200ml ini mempunyai ciri-ciri pengiklanan yang cukup baik pada aku. Lihat saja grafik pada botol ni, pokok kelapa yang diletakkan bertujuan untuk memberi keselesaan dan perasaan yang rapat kepada pengguna, makhlum sajalah pada waktu tu pokok kelapa kat mana-mana pun ada walaupun dalam town! Buah limau dihiasi pula dengan dedaunan dan anak-anak bunga limau, menunujukkan ciri-ciri kesegaran air oren itu sendiri, bayangkanlah dalam bulan puasa pulak tu, dalam peti sejuk kita dapat lihat titisan-titisan air pada seluruh tubuh botol ni yang warna oren! MaK oii!

Botol soda yang aku dapat ni kondisi taklah memberangsangkan sangat tapi kira adalah daripada takde, boleh jugak la kita ketahui kewujudan botol Malaya yang hebat ni..











Sunday, August 22, 2010

SUN VALLEY CORDIAL.

Semalam aku buka blog Fitri Barang Old Skool terkecur air liur aku tengok posting terbarunya pasal cordial F&N! Hampeh betul kau Fitri, bikin nipis puasa aku! Ni aku nak balas balik kat kau ni!! Jangan marah bro.. aku bergurau je. Sebenarnya sebelum aku buka blog Fitri semalam aku ke stor aku di Kepong. Korek dalam stor sendiri! Dah masuk kotak barang-barang yang aku nak bawak balik akhir sekali aku terserempaklah dengan botol ni kat atas almari lauk dalam stor aku. Aku dah terlupa pasal botol cordial aku ni, dah lama aku simpan. Jadi kebetulanlah semalam Fitri posting cordial F&N, aku pun hari ni posting jugaklah botol cordial ni.

Sun Valley, mungkin ramai yang tak tahu tentang kewujudan botol pati ni dan mungkin juga tak ramai yang tahu yang cordial Sun Valley ni adalah salah satu produk dari F&N Coca-Cola! Kilang F&NCC seksyen 26 Shah Alam yang mengeluarkan cordial ni sekitar tahun 90an dulu. Kalau cordial F&N ni memang tak lari dari trademarknya iaitu botolnya mesti ada hiasan daun-daun embossed. Kenapa kita jarang atau tak pernah lihat botol ni di sini satu ketika dulu?? Ini kerana botol cordial ni di buat untuk pasaran Sarawak dan Sabah. Aku pun tak tau kenapa kat sini tidak di pasarkan atau mungkin aku je yang tak pernah nampak?? Apa-apa pun geng-geng botologi yang duk kumpul botol cordial F&N ni nak kena adalah jugak botol ni untuk melengkapkan variasi botol cordial anda semua. Tapi sayang, aku pun ada sebiji je botol ni, mungkin ada di kalangan ahli botologi yang ada extra botol ni hulur-hulurlah bantuan, kawan-kawan ramai yang nak ni!


SUN VALLEY


Corak-corak daun pada botol.




Friday, August 20, 2010

Anjing Bulldog dari Bentong!

Inilah kali pertama aku menatap botol soda cap Anjing Bulldog! Memang semua ahli-ahli korek botol terkejut dengan penemuan botol ni baru-baru ini. Kit Cheong Loong & Co. Bentong Embossed 200ml ini memang lain dari yang lain dan bikin pening aku dan kawan-kawan perihal nak menentukan samada botol ni botol soda atau tak. Setelah meneliti dengan terperinci botol ni, melihat kepada fakta-fakta pada botol ni aku dan kawan-kawan sepakat mengesahkan botol ni adalah botol soda! Kerana tiada ciri-ciri menunjukkan botol ni botol todi. Tapi memang aku tak pernah tengok botol soda Malaya cap anjing sebenarnya, itu yang pada awalnya aku dan kawan-kawan sangsi. Aku pernah tengok botol soda dari Indonesia je yang ada cap anjing tengah berlari! Kondisi botol ni tatkala keluar dari tanah memang cemerlang! Calar-balar memang kurang sangat. Melihatkan dari kualiti emboss dan susunan typography botol ni, aku anggarkan botol ni keluaran awal 40an. Maka sudah ada dua jenis botol yang berasal dari Negeri Pahang ni aku rasa (Satu lagi, Ban Hin Long Cap Harimau, Kuantan). Inilah kehebatan memburu botol... Bikin aku dan kawan-kawan tersengih sampai ke telinga!




Thursday, August 19, 2010

NEDICK.

Ini ada satu lagi botol soda geng-geng Mambo dan Bireley's. Nedick namanya. Nama memang tak komersial la bagi aku, bunyi macam hospital je! Tapi mungkin jugak air botol ni untuk kesihatan, mungkin oren, tonik, soya atau susu kerana pada botol tu tertera 'Pasteurized Non Carbonated Drink', takkan soya atau susu pun ada gas kan?? Tulisan putih dengan latar belakang biru memang standard la design botol oldschool! Satu lagi jenama yang belum pernah aku tengok sebelum ni jadi aku tak ada langsung info pasal jenama ni. Kalau ada geng-geng botologi yang ada info pasal botol ni dengan botol Thara's Mambo tu, kongsi-kongsi lah bro!


Nedick


Tertera: Pasteurized Non Carbonated Drink.


Tulisan timbul pada bahagian bawah botol,
sama macam botol Bireley's.

Wednesday, August 18, 2010

THARA'S MAMBO!

Mambo King! itulah yang terlintas di benak aku selepas botol ni dikeluarkan dari tanah baru-baru ini. Botol bernama Thara's Mambo ni pertama kali aku tatap sepanjang menjadi ahli botologi ni. Kalau dilihat pada bentuk botol ni tak ubah seperti botol Bireley's! Tak lah menarik sangat tapi bagi aku satu penemuan yang boleh dibanggakan. Yang anehnya sepanjang proses mencari-gali baru-baru ini, botol-botol yang tak pernah aku lihat sebelum ni hanya keluar setakat sebijik dua saja. Maka terpaksa berebutlah dengan geng-geng korek yang lain, yang pastinya semasa sesi pembahagian harta, setiap seorang dapat botol-botol yang dasyat!


Thara's Mambo.


Tertera: Pasteurized Drink. Tapi sayang tulisan dah kabur!

Friday, August 13, 2010

I.A.W.F. IPOH EMBOSSED 200ML

Antara penemuan hebat semasa proses mencari-gali baru-baru ini di Kelantan adalah botol dari Ipoh Aerated Water Factory Embossed 200ml ini. Dianggarkan botol ini bertarikh di antara tahun 30an hingga 40an. Kondisinya bukanlah dalam keadaan yang paling baik tetapi penampilannya sudah cukup membuat aku dan kawan-kawan terpesona.




Logo singa berkembar di antara bulatan seperti Globe.


Tertera: Ipoh Aerated Water Factory IPOH.


Tulisan Cina.

Monday, August 9, 2010

Kalau Dah Jodoh Tak Kemana..

Sebelum aku teruskan dengan posting terbaru aku ni terlebih dahulu aku ingin mengucapkan TAHNIAH kepada geng-geng botologi kerana berjaya menganjurkan Trade Fair di Amcorp Mall semalam. Sambutan aku kira amat memberangsangkan sampai kena 'sound' dengan managment Amcorp kerana terlalu meriah dengan barang-barang dan pengunjung! Ucapan terima kasih kepada collector Coca-cola tegar iaitu Datuk Profesor Sharif(mentor aku) kerana sudi meluangkan masa datang ke trade fair semalam untuk memberi sokongan, para-para bloggers yang memberi sokongan padu, Blues Rider, Spallan, Junker Ipoh, Bro Zul Larkin and the geng, Din Posto serta semua yang terlibat secara langsung dan tak langsung(yang aku tak sebut nama, sori! aku terlupa la tuu!). Juga kepada yang tak hadir tu aku tau nak datang tapi tak dapat kerana hal-hal tertentu, terima kasih semua! Akan ada lagi nanti event-event seperti ini di masa depan, kerana kami ada membuat perancangan, yang penting kami perlukan sokongan padu daripada anda semua!

Berbalik kepada posting aku untuk kali ini adalah botol Coke Embossed pendek berkaca hijau ni. Kalau posting aku yang terawal dulu perihal macamana aku mula-mula terjebak dengan mengumpul botol ni iaitu aku terjumpa botol Coke Embossed pendek berkaca putih jernih yang bertanda 'MSG' yang aku gelarkan sebagai Coke Embossed gred 'A'. Setelah agak 'masak' dengan botol Coke embossed local ni aku mula tertanya-tanya adakah wujud botol Coke gred A ni yang berkaca hijau?? Kawan-kawan botologi yang lain sepakat mengatakan kemungkinan botol ni wujud tu ada! Lama aku mencari botol ni, terlalu lama aku rasakan, maka enam belas tahun selepas penemuan pertama dulu timbul juga botol Coke embossed Gred A berkaca hijau ni. Bagi aku warna kaca hijau botol ni amat memukau pandangan aku, memang lain macam! Bab kata pepatah, kalau dah jodoh tak kemana..


Coke Embossed kaca Hijau Gred 'A'

Warna Hijau Yang 'Mengancam'
Tulisan yang terserlah timbulnya.


Tertera: 'MSG'


Friday, August 6, 2010

XPDC MEMBURU BOTOL DI PANTAI TIMUR.. episod akhir, Part. Terakhir..

Sampai saja di Restoran Hover kami terus order, lauk pauk dihidang. Masing-masing dah kecur air liur! Apa lagi, sebat lah!


Restoran yang wujud semenjak tahun 70an lagi..


Lauk ala masakan Sumatera ni memang best!!


Ayam kampung dengan gulai kawah!


Teh o ais memang lain macam sedap rasanya bila diminum dengan gelas kaca.
Memang menjadi 'trend' restoran ni sejak dulu lagi.


Licin! Licin! macam... Dua gelas aku belasah teh o ais!


Telur penyu ni pun memang dihidang semenjak dulu lagi di restoran ni,
jika di pulau Sumatera kedai- kedai makan terutama kedai
nasi 'Padang' di Sumatera selalunya menghidang telur penyu ni.
Anda pernah rasa?? Aku tak pernah!!


Tapi telur penyu ni memang 'favourite' Mat Wey!


Ekspresi muka ketika menyedut telur penyu menggambarkan segalanya!!

Sedut telur penyu menjadi penutup makan di Restoran Hover. Habis makan sambung kerja lagi! Lagi botol yang tak pernah atau pernah aku lihat muncul. Ini antara botol-botol yang muncul..

Malayan Food Products.


Long Brothers, Whale Brand.


Marco, RC Cola, Watson dan Ban Hing Long Cap Harimau.


Phoenix dan botol cap kepala anjing bulldog dari Bentong.


Askar-askar otai soda yang ditawan!


Pukul 6 petang kilang tutup, jadi kami pun tutup pejabat jugak, para botologi dah pancit! Cari hotel, 'check in', mandi dan melepak sambil aku posting botol Kelantan Aerated Water malam tu. Masing-masing kagum dengan penemuan botol emboss tu, mau tak kagum, kami tak pernah tengok!

Melepak di bilik hotel.


Bro Nazrin tak lekang dari botol cap burung Kakak Tua ni!


Malam dalam pukul 8.30, aku ajak Bro Sham pulak
merasa Chicken Chop Sun Hua!

Lepas makan malam, perut dah kenyang, mata pun dah kuyu disulam pula dengan sengal-sengal badan kami pun balik hotel dan tidur! Mat Wey cakap aku 'champion' berdengkur! Hampeh Mat Wey! Pagi besoknya bangun awal, seawal pukul 7 pagi dah mesti berada di kedai kopi 'oldskool' dalam town untuk menikmati nasi 'Tumpang'(nasi tradisional Kelantan), kalau sampai pukul lapan alamatnya makan daun pisang je lah! Selesai sarapan, masuk kerja balik, punggah dan kemas lagi botol-botol di lokasi dan lagi botol-botol otai muncul!

Acara memasukkan botol dalam guni disambung..


Eng Kee cap burung layang-layang.. Burung kakak Tua dan tak muncul!


Lagi askar-askar 200ml ditawan!


Tak ketinggalan, botol F&N embossed 200ml juga muncul!
Dan begitulah seterusnya sampai ke petang. Akhirnya semua usaha keras berjaya dibereskan. Setelah 'loading' semua botol-botol yang telah dipilih maka kami pun bergerak balik ke KL.. Dan sampai hari ni botol-botol tersebut belum lagi dibahagi-bahagikan kerana masing-masing sibuk dengan kerja dan tanggungjawab lain.

Jangan salah sangka pulak, gambar di atas bukan bermakna kami ni sahaja pemburu botol di Malaya ni malah anda semua geng-geng botologi tak kira memburu dalam tanah atau memburu di meja pasar antik dan pasar karat semuanya boleh dianggap 'Bottle Hunters of Malaya'.. Aku ni bukan apa, seronok bila mula balik main botol ni, jumpa lebih ramai lagi collector dari Utara sampailah ke Selatan. Bila mula jadi blogger tahun ni macam-macam info lagi pasal botol ni aku pelajari. Memang best hobi kumpul botol ni, malah hobi apa-apa sajalah yang anda minat kerana dengan adanya hobi ini lah bagi aku salah satu cara untuk kita 'enjoy', bergembira, tenang, seronok bila jumpa sesama collector dan bertukar informasi dan melayan tengok koleksi masing-masing. Pendek kata hobi ni terutama kumpul botol soda memang untuk kita berseronok dan untuk menghilangkan tekanan-tekanan yang ada. Jadi mari kita sama-sama mengembangkan lagi dunia koleksi botol soda Malaya ni. Jom 'Enjoy!' di Trade Fair botol soda yang buat pertama kali akan berlangsung di Amcorp Mall P.J pada 8hb Ogos ini di Tingkat 3. Jumpa para-para pengumpul botol soda Malaya di sana, pasti menyeronokkan! Aku dah tak sabar!

Maka sekian dulu cerita perihal ekspedisi aku dan kawan-kawan ke Pantai Timur baru-baru ini, bersyukur aku kepada Tuhan kerana memurahkan rezeki kami dalam pemburuan botol kali ni. Mungkin ada lagi lubuk-lubuk lain yang akan muncul selepas ni, siapa tahu, tiada istilah berhenti bagi aku.. Pemburuan tetap diteruskan...