Saturday, February 26, 2011

FRASER & NEAVE EMBOSSED 400ML DUA DALAM SATU, 'ERROR' ATAU 'STANDARD'??

Jika sebelum ini aku pernah tunjukkan botol F&N error dua dalam satu(Cetakan kaca timbul & cetakan dakwat dalam satu botol) dari model 'Black Shadow', kali ini sedikit paparan mengenai botol ini tetapi dari model cetakan dakwat jenis biasa. Walaupun cetakan dakwat pada botol ini bukan dari jenis 'Black Shadow' tetapi ianya adalah dari variasi selepas model 'Black Shadow' kerana logo singa yang masih kecil, seperti yang ahli botologi yang meyimpan variasi botol F&N sedia makhlum, logo singa yang bersaiz kecil adalah dari versi yang awal. Sekali lagi menjadi tanda tanya, adakah botol ini botol 'error' atau botol ini sememangnya dikeluarkan dalam versi begini?? Ini kerana dari pandangan aku, jika botol ini adalah botol 'error', maka kesilapan yang dilakukan oleh juruteknik di kilang mencetak botol ini berlaku berulang-ulang kali. Adakah munasabah jika ianya berlaku beberapa kali dan tidak dipantau pengeluaranya sehingga dipasarkan?? Atau kemungkinan ianya sengaja dicetak pada botol 'embossed' sebagai salah satu strategi pemasaran?? Kerana apa yang aku ketahui botol 'embossed F&N ini dahulunya dilekatkan label kertas(Tetapi tidak dapat dipastikan label dari reka bentuk bagaimana) pada bahagian belakang botol, jadi setelah teknik mencetak dakwat di atas kaca diperolehi maka kaedah strategi pemasaran yang sama digunakan. Tetapi jika ianya merupakan keluaran 'standard' ketika itu, dimanakah semua botol-botol ini menghilang?? Jika terdapat banyak botol-botol 'embossed' ini dijumpai, kenapa tidak dari model ini?? Semuanya masih menjadi tanda tanya, mungkin ada yang lebih mengetahui tentang evolusi label F&N ini dan aku berharap dapat berkongsi makhlumat dari sesiapa yang mengetahui tentang model botol F&N ini. Apa-apa pun, samada ianya botol 'error' atau tidak, model ini adalah di antara model yang paling menarik bagi aku dalam keluarga botol F&N.


Cetakan biasa(Kiri) dan
cetakan 'Black Shadow'(Kanan)

Bahagian cetakan kaca timbul adalah sama.

Sunday, February 20, 2011

KASTORI/KASTURI.

Kastori/Kasturi salah satu jenama botol soda tempatan yang terawal aku perolehi ketika mula-mula berjinak dalam bidang botologi. Pertama kali menatap botol 'oldschool' ini kira-kira lima belas tahun dulu di sebuah kilang air soda yang sudah tutup di Terengganu. Terdapat dua jenis botol pendek dari jenama ini iaitu, Kastori dan Kasturi. Aku pasti dua nama berbeza ini bukan datang dari syarikat atau jenama yang berbeza kerana selain dari namanya, reka bentuk lain pada label botol ini adalah sama. Mungkin perubahan masa mempengaruhi ejaan jenama botol soda yang tidak bergas ini dan mungkin juga ejaan yang berlainan menunjukkan perisa air yang berlainan. Sudah menjadi 'trend' era 50an kebanyakan label botol soda ketika itu menggunakan kombinasi warna merah dan kuning yang mungkin ada 'Ong' untuk melariskan penjualan tapi bagi aku yang mendatangkan minat orang ramai untuk membeli minuman ini adalah kerana kombinasi warna merah dengan latar belakang kuning mendatangkan 'contrast' yang kuat untuk menarik perhatian mata orang ramai dari jauh lagi.

KASTORI/KASTURI


Tertera: Delicious and Refreshing(Sama seperti tag line Coca-Cola),
Non Carbonated(Tiada Gas),
This Bottle Belongs to Kastori/Kasturi Co And May not Be Sold.


Lima belas tahun setelah penemuan botol pendek dari jenama ini aku tak menyangka akan bertemu jodoh dengan botol tinggi yang bersaiz 285ml pula. Aku dan rakan-rakan agak terkejut kerana itulah kali petama kami menatap botol tinggi dari jenama ini. Botol yang digunakan syarikat ini adalah sama seperti yang digunakan oleh White Spot dan Suntolley's. Masih mempunyai dua perbazaan tetapi bukan pada nama jenama botol ini kerana ejaan kedua-duanya masih sama iaitu Kastori dan perbezaan label pada botol tinggi ini adalah jenis tulisan(Font) yang digunakan dan juga penambahan ayat yang tertera 'No. 1' pada label botol ini.

KASTORI 285ML.



Penambahan 'No. 1' pada label botol ini dan jenis
tulisan(Font) yang berlainan berbanding gambar di atas.

Aku tidak pasti samada botol Kastori/Kasturi ini mempunyai variasi lain lagi selain dari apa yang aku ada ini tetapi kemungkinan untuk botol ini mempunyai variasi lain tetap ada, mungkin sudah ada ahli botologi yang mempunyai variasi lain dari jenama botol ini atau mungkin ianya masih ada di bawah tanah, di dalam guni atau di dalam peti kayu di mana-mana menunggu kita untuk dibongkar..

Sunday, February 6, 2011

F&N SINGAPORE-KUALA LUMPUR DENGAN TUDUNG 'EVERYTIME'.

Di sesi Botologi Hi Tea baru-baru ini aku berkesempatan untuk tukar botol suka sama suka dengan bro Acid Welding. Botol-botol yang aku dapat adalah dari jenama F&N Singapore-Kuala Lumpur, model botol soda yang aku rasa paling tersohor di kalangan ahli botologi. Kalau takde model ni rasanya tak sah bagi peminat botol soda Malaya. Memang biasa je botol ni kerana kuantitinya yang banyak kita boleh jumpa di seluruh Malaya ni tapi apa yang menarik bagi aku tentang botol yang aku dapat ni adalah tudungnya yang masih dapat kita lihat reka bentuk dan warnanya. Jenis tudung botol F&N 400ml yang aku dapat ni adalah dari model F&N 'Everytime'. Salah satu dari variasi tudung botol F&N yang bagi aku agak sukar diperolehi sekarang, lebih-lebih lagi yang berkondisi cemerlang. Walaupun tudung botol yang aku dapat ni kondisinya agak kurang memuaskan tapi sudah memadai untuk kita jadikan rujukan tentang variasi tudung botol F&N 400ml ni dan aku pasti ada ahli botologi yang menyimpan botol F&N ini dengan tudung yang berkondisi baik! Apa-apa pun terima kasih bro Acid Welding!

F&N Singapore-Kula Lumpur 400ml dan 200ml.


Tudung dari model 'Everytime'.
Reka bentuk logo yang klasik.
Orange Crush dan Sarsi.

Wednesday, February 2, 2011

SCHWEPPES BOTOL BESAR-VARIASI.

Schweppes botol besar ni dah beberapa kali aku dapat semenjak terjebak dalam arena Botologi ni, cuma baru semenjak dua menjak ni je aku dapat variasi yang berbeza, tak pun aku baru perasan perbezaan pada tiga biji botol Schweppes besar ni yang ada pada aku. Gambar yang paling kanan sekali masih tak berbasuh kerana baru dapat hujung tahun lepas (alasan je sebenarya). Jadi mari kita tengok perbezaan pada botol-botol Schweppes ini.


SCHWEPPES BOTOL BESAR.



Kalau kita lihat, botol yang paling kiri sekali, logo Schweppes yang berwarna biru tidak mempunyai latar belakang putih seperti kedua botol yang lain. Logo bawah dan tulisan adalah sama dari pengamatan aku.



Dan di bahagian belakang ada perbezaan dari segi tulisan "This Bottle Remains The Property Of Union Ltd." Botol Paling kiri dan tengah mempunyai tulisan yang sama manakala botol paling kanan tidak mempunyai tulisan ini. Lain perbezaan adalah tulisan 'embossed' Schweppes pada botol paling kiri berada di bawah lubang acuan bulat manakala botol paling kanan tulisan 'embossed' Schweppes berada di atas acuan. Manakala lubang acuan untuk botol tengah berada di bahagian tapak botol yang berbentuk 'longkang.'

Botol kiri


Botol paling kanan.

Setakat ini aku hanya ada tiga jenis botol Schweppes besar. Mungkinkah ada lagi variasi lain?? Bagi aku tak mustahil, botol soda Malaya atau versi Malaya kita ini mempunyai berbagai-bagai reka bentuk bagi memenuhi matlamat pengiklanan pada masa itu jadi setiap jenama mempunyai berbagai variasi yang berbeza.