Monday, December 12, 2011

RAJA BAIK PULIH!! Episod 1.

Entri aku kali ini agak berbeza dan keluar dari tajuk biasa kerana buat masa sekarang cerita pasal botol soda dibekukan sementara kerana botol-botol yang baru diperolehi akan dipamerkan dulu di pameran Botologi Januari tahun depan. Selepas pameran tersebut barulah botol-botol ini akan aku paparkan di blog untuk memaksimakan kesan kejutan di pameran nanti!

Kali ini aku akan paparkan dokumentari bergambar yang tak jauh bezanya dengan dokumentari 'King Of Restoration' di saluran 'History' di astro. Mungkin kebanyakan anda di luar pernah melayan dokumentari menarik itu yang mengenai membaik pulih barang-barang lama untuk dijadikan koleksi. Mari kita saksikan 'King Of Restoration' versi Melayu kita...




Man Rani
Hari ini saya datang ke Shah Alam untuk berjumpa dengan seorang pakar membaik pulih barang-barang lama iaitu En. Mat Wey. Saya dengar beliau boleh membaik pulih barangan koleksi dengan berkesan. Jadi saya ingin membaik pulih sebiji tong air batu Coca-Cola besi saya supaya menjadi lebih 'cun' untuk dijual kepada pelanggan saya iaitu en. Mat yang juga datang menemani saya untuk berjumpa dengan en. Mat Wey.- Man Rani.



Tong Air Batu Coca-Cola

Tong air batu ini saya baru saja dapat dan tulisan Coca-Cola pada tong ini hanya dilekatkan sticker saja, jadi tak cun lah, apa barang sticker!!..-Man Rani.



Man Rani bersama En. Mat yang menjadi pelanggannya kali ini.

Ok En. Mat, jom kita loading tong ni di rumah Mat Wey!-Man Rani




Man Rani memberi kata-kata semangat kepada en. Mat.

Jangan risau en. Mat, budak ni ok boleh buat punya!-Man Rani.

Kalau tak ok aku tak nak bayar Rani!-En. Mat.




Mat Wey agak terpukul dengan kata-kata En. Mat
kerana dia ada dekat saja dengan mereka.
Jadi dia dapat dengarlah perbualan mereka berdua! (Dalam hati) Tercabar aku ni dengan kata-kata en.Mat! Dia belum tau aku sapa!-Mat Wey.




Setelah sampai ke rumah Mat Wey yang juga merupakan bengkel beliau...





En. Mat sedang memperkatakan sesuatu kepada Man Rani.
Pastikan calar-calar ni semua hilang ya!-En. Mat.

(Dalam Hati) Nanti la dulu baru duk usung ni!! Adoi brader ni!!-Man Rani.

(Dalam Hati) No komen!-Mat Wey.




Man Rani sedang memerhatikan Tong besinya.Jom Wey kita angkat tong ni dulu, nanti aku 'explain' dengan kau apa nak buat..-Man Rani






Rani bersusah payah mengangkat tong air batunya.

Wey.. aku tengok dalam 'King Of Restoration' customer dia mana ada kena angkat sendiri??-Man Rani.

Pekerja aku semua dah habis permit la, dah balik kampung!-Mat Wey.




Man Rani sedang menerangkan sesuatu kepada Mat Wey.
Wey.. sticker-sticker ni aku tak mau. Kasi buang semua! Apa barang sticker!?! Kalau boleh aku nak style oldschool tapi baru!-Man Rani.




Man Rani belum habis hujahan.
Wey.. yang kemek-kemek ni kasi setel semua. Satu kemek pun aku tak nak tengok! Ok??!!-Man Rani.



Mat Wey hanya memerhatikan saja Man Rani berhujah.
(Dalam Hati) Banyak cekadak pulak brader ni. Nanti kau aku sebut harga kejap lagi!!-Mat Wey.





Man Rani menggulung hujahan beliau.
Ingat ya Wey, dalam kasi cuci habis biar berkilat! Customer aku tu cerewet!! Ok Wey?? Jadi macam mana pengerasnya?? Agak-agak berapa ya??-Man Rani.





Mat Wey sedang memikirkan berapa harga
yang nak dikenakan kepada Man Rani.
Emm.. emm.. Nak kena sand blast dalam setengah jam.. body kena ketuk.. cat.. kena buat skrin untuk tulisan.. Overhaul enjin..-Mat Wey.

Woii!! Manada enjin menatang ni!! Aku tumbuk jugak perut kau kang!!-Man Rani.

Ehh! Sori! Sori! tersasul! Emm.. gedebak-gedebuk tiga hari punya kerja.. kalau hujan cat tak kering tambah lagi empat hari, jadi seminggu.. Ah boleh lah.. aku jangkakan dalam RM500 untuk job ni dan aku nak botol soda lama sebijik! Dan aku nak down payment serat! Ok??-Mat Wey.

Mak aii! Dah la nak botol nak down payment pulak tu??-Man Rani.

Habis.. dah loan kedai, down payment kasi taruk laa..!-Mat Wey.

Ok lah Wey.. aku rasa harga kau tu ok, no hal punya!-Man Rani.



Man Rani menghulurkan duit kepada Mat Wey.
Ok lah Wey.. mu punya pasal kawe beri dengan senyuman menaweeyy!!-Man Rani.




Man Rani bersalaman dengan Mat Wey tanda puas hati
dengan bayaran yang dikenakan.
Ok Wey.. semoga berjaya ya. Aku tunggu kau call aku ya??-Man Rani.

Ok boleh boleh, no hal punya, tapi kalau aku tak call tu kau call la aku, kadang-kadang aku kredit takde!-Mat Wey.

Hampeh kau Wey!-Man Rani.




Man Rani memperkatakan sesuatu.
Saya harap Mat Wey akan melakukan yang terbaik kali ini. Saya yakin dia boleh buat dengan kemas dan cantik! Kalau dia buat cantik saya pun masyuuukk!! Tak sabar la pulaak!!-Man Rani.




Mat Wey pula ingin mengatakan sesuatu.
Saya tak sabar untuk memulakan kerja baik pulih ni. Bagi saya setiap kerja yang diterima merupakan cabaran buat saya. Saya tidak akan hampakan harapan Man Rani dan juga en.Mat! Malam ni nak tido cepat-cepat supaya esok hari datang segera nak mulakan kerja!-Mat Wey.




Tong air batu Coca-Cola. (Sebelum dibaik pulih).

(Bayangkan suara yang bergema bila baca ayat ini)
Apakah Mat Wey akan berjaya membaik pulih tong ini dengan cemerlang?? Apakan Rani akan gembira dan masyuk dari hasil kerja Mat Wey?? Kita akan saksikan dalam episod akan datang dalam RAJA BAIK PULIH!! Sekian..

Saturday, November 5, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Selamat Hari Raya Aidiladha diucapkan. Kepada yang balik kampung tu berhati-hati di jalan raya. Semoga selamat pergi dan balik insyaallah.


Saturday, October 22, 2011

MAIN BADMINTON KENA MINUM AIR SOYA!

Kenapa nak main badminton kena minum air soya?? Mungkin botol ini ada jawapannya. Paparan kali ke seratus aku kali ini adalah botol susu kacang soya EE SIN cap orang main badminton! Jarang benar kita dapat lihat ilustrasi grafik orang sedang bersukan pada botol era 60an sebegini dan aku rasa botol EE SIN ni sajalah satu-satunya yang mempunyai gambar orang bersukan, macam tin milo pulak!

Tak banyak info yang aku ketahui tentang botol ini selain dari tahun bila ia dikeluarkan berdasarkan bentuk botol dan ilustrasi grafik. Dimana ia dikeluarkan tidak pula aku ketahui. Apa yang menarik tentang botol ini bagi aku adalah warna label dan tulisan-tulisan rumi, jawi dan cina yang tertera pada label botol ini. Mari kita lihat dengan lebih dekat botol air gagah main badminton ini.

EE SIN Soybean Milk


Tertera: EE SIN Soybean Milk
dan
huruf jawi: Susu Kacang, tiada pula tertera 'Soya'!
(Kali ini mesti betul aku eja!)




Lagi tulisan cina di bahagian tepi label botol ini


Bahagian tulisan cina ini aku tak tahu apa dia tulis. Lupa pula aku nak tanya pada rakan-rakan cina. Tapi aku boleh agak la ada kena mengena dengan "kalau minum susu ini bersukan badminton akan jadi lebih lincahlah ataupun jadi juara"! Dapat kita lihat ilustrasi orang ala-ala 'mat saleh' berbadan tegap, siap bertopi lagi dengan gaya lincah bermain badminton lepas 'pekena' air soya dari botol ni. Memang betul la nak menang main badminton mesti 'pekena' air soya ni!!

Thursday, October 13, 2011

PETI KAYU JAWI.

Selalunya apabila terjumpa peti kayu botol wajib ada yang bertulisan rumi. Tulisan cina juga selalu kita lihat pada peti-peti kayu contohnya seperti, Coca-Cola, Mirinda, Pepsi, Sinalco. Semua tulisan-tulisan ini memainkan peranan penting khususnya jika kita hendak ketahui dari mana asal peti ini dan di mana ianya dipasarkan. Selalunya yang bertulisan rumi dan cina menunujukkan ianya pasaran tempatan berdasarkan pengalaman aku memburu benda-benda ini. Lainlah kalau terjumpa yang bertulisan Siam atau Rusia, dah sah-sah bukan keluaran tempatan!

Salah satu jenama yang ingin menarik perhatian orang melayu pada waktu dulu adalah Long Chan dari Melaka. Ini kerana aku rasa jenama inilah satu-satunya yang menggunakan tulisan jawi sebagai strategi pengiklanan. Mungkin ada lagi jenama lain yang menggunakan tulisan jawi cuma aku tak pernah jumpa. Kalau dilihat pada botol Long Chan juga terdapat tulisan-tulisan jawi dan variasi botol Long Chan ini dibezakan oleh tulisan jawinya juga. Aku anggarkan peti kayu ini di keluarkan sekitar tahun 60an berdasarkan pengikat dawai yang digunakan di tepi untuk mengukuhkan lagi peti ini. Penggunaan zink sebagai pengukuh selalunya terdapat pada peti keluaran tahun 70an ke atas. Kondisi agak cemerlang untuk peti yang telah berumur 50 tahun ini cuma tulisan di bahagian tepi sudah pudar. Siapa pandai baca jawi??


Peti kayu Long Chan dengan tulisan Jawi.


Perkataan di bahagian atas tertera: Cap ayam dan dunia..
(Yang ni aku pasti sebab ayam 'bapak' tu duk bertenggek atas bumi!)
Perkataan di bahagian bawah tertera:
Eerr.. Limuu.. limu.. limau.. Kit.. Limau kita!! Limau kita?? Betul ke??

Tolong sesiapa yang pakar tulisan jawi ala 60an bacakan makna perkataan di bahagian bawah tu?? Beku otak aku memikir...

Saturday, October 8, 2011

FRESH SOYBEAN MILK, COW BRAND

Sesi menyelongkar stor baru-baru ini mendapat hasil yang tidak diduga. Terkeluar sebiji botol kaca perasa susu kacang soya cap lembu 'seekor'! Kenapa aku katakan lembu seekor kerana sebelum ni terjumpa cap lembu tapi kepala je lembu badan tak ada. Kali ini lembu seekor, kira cukup sifat la. Sepuluh tahun lepas aku ada botol ini yang berkondisi cantik tapi aku sudah lepaskan kepada seorang rakan, tak sangka ada lagi yang lebih di dalam stor. Aku percaya ada ahli botologi di luar sana yang memiliki botol ini dan untuk tatapan kepada anda di luar sana yang belum pernah melihat botol ni marilah kita melayan gambar botol 'Fresh SoyBean Milk, Cow Brand' yang di keluarkan sekitar tahun 60an dulu. Kondisi yang aku ada ini sedikit mengecewakan tapi ini je yang aku ada, tetap menarik bagi aku kerana jarang kita dapat melihat botol-botol soda atau soya tempatan yang berlabel biru! Susunan dan jenis grafik tulisan yang klasik dengan illustrasi lembu yang memang menarik(masih boleh dilihat dengan mata kasar jika dihadapkan kepada cahaya) Di harap geng-geng botol di luar sana berpuas hati.


FRESH SOYBEAN MILK, COW BRAND
Label yang 'rabak'!


Dapat dilihat sedikit gambaran lembu
pada label biru botol ini.


Disini aku 'highlight'kan bentuk lembu ini
untuk gambaran yang lebih jelas.


Tertera: Cow Brand dan Fresh SoyBean Milk.
Terdapat tulisan cina dan tulisan jawi pada label botol ini.



Tulisan Jawi yang tertera: 'Susu Kacang Soya Cap Lembu'.

Wednesday, September 28, 2011

TIN JOOI WAH, KAJANG.

Demam raya dah kebah, 'mood' raya pun dah beransur, bak kata En.Mat, kepenatan! Jadi untuk memulakan kembali paparan koleksi botol-botol soda Malaya ni aku mulakan dulu dengan jenama ringan-ringan sebagai 'starter'.

Kali ini paparan aku adalah botol soda dari Tin Jooi Wah Kajang yang ditemui pada sesi jalan-jalan cari kerepek di Tanjung Karang tahun lepas. Mungkin jenama ini tidak se gah jenama-jenama lain yang ada sekarang tapi dahulu jenama ini adalah antara jenama yang memeriahkan industri air soda di Selangor dan juga tanah air. Ada beberapa lagi variasi botol dari jenama ini seperti jenis cetakan pada kaca(Printed) yang telah wujud sebelum merdeka lagi akan tetapi botol ini bukanlah botol lama tetapi botol yang terbaru atau mungkin juga keluaran terakhir dari jenama cap burung helang ini kerana aku dah tak nampak lagi jenama ini dijual dimana-mana kedai runcit atau atau kedai kopi di kawasan kampung. Menggunakan label kertas, teknologi cetakan ini telah wujud sebelum teknik cetakan di atas kaca lagi dan sekarang diguna pakai kembali kerana ia menjimatkan kos.

Botol soda dari Kajang ini tidaklah dalam kondisi yang paling baik tetapi sudah cukup baik untuk kita melihat grafik pengiklanan pada botol ini yang mana bagi aku ianya cukup menarik.


Ais krim Soda Cap Helang Kajang.




Wednesday, September 14, 2011

PETI KAYU KUNING 'MINUM-LAH'

Sudah lama aku tak bersiaran, makhlumlah berhari raya sakan, baru minggu ni keadaan agak reda sikit dari melayan 'open house' di rumah kawan-kawan. Balik kepada tajuk di atas, bila sebut sahaja pasal variasi sudah tentu ramai pengumpul terutama yang mengumpul botol, gelas atau yang seangkatan dengannya akan cenderung untuk mencari variasi sesuatu barangan yang dikumpul samada dengan sengaja atau tidak termasuklah aku. Variasi atau siri sesuatu barangan yang aku maksudkan sebagai contoh botol. Misalnya botol Coca-Cola, apabila telah menjumpai sesuatu model atau jenis kita tidak akan berhenti di situ sahaja, kita akan cenderung untuk mencari lagi jenis-jenis lain samada perbezaan dari sudut bentuk atau grafik pada botol itu. Aku selalu tertarik kepada perbezaan grafik pada botol kerana perbezaan ini selalunya berkait rapat dengan tarikh atau masa barangan itu dikeluarkan, semakin lama semakin berbeza kerana cara pengiklanan diubah mengikut kesesuaian masa.

Kali ini aku bukan hendak bercerita tentang botol, tetapi peti kayu untuk mengisi botol(Crate).
Sejak awal menjerumuskan diri dalam mengumpul botol ini satu jenis peti kayu sahaja dari jenama Coca-Cola yang aku tahu iaitu yang berwarna merah bertulisan putih. Makin lama beberapa variasi lain aku jumpai dengan tidak sengaja. Semenjak dari itu pemburuan untuk variasi yang lain menjadi fokus aku. Apa yang aku tahu setelah lama dalam bidang ini, peti kayu Coca-Cola yang berwarna kuning adalah lebih lama dari yang berwarna merah seperti gambar di bawah. Jika kita lihat peti kayu dari barat pun antara peti kayu yang terawal adalah yang berwarna kuning bertulisan merah.

Apa yang menarik tentang peti ini adalah tulisan grafiknya yang tertulis 'MINUM-LAH'. Jika sebelum ini peti yang aku jumpai yang berwarna kuning tertera 'Drink' dan aku sama sekali tidak menyangka tulisan dalam bahasa melayu wujud pada peti berwarna kuning ini. Aku anggarkan tahun peti ini dikeluarkan antara tahun 60an keatas berpandukan kepada cetakan grafik pada tepi peti ini yang tertera 'Property of Lion (Malaya) Ltd'. Ini kerana perkataan 'Ltd' atau 'Limited' tidak lagi digunakan pada peti kayu yang dikeluarkan dalam tahun 70an keatas dimana ia telah digantikan degan perkatan 'Sdn. Bhd'(Sendirian Berhad) atau gabungan 'Pte. Ltd'. Aku juga pernah menjumpai peti F&N yang tertera tahun dikeluarkan iaitu 1964 yang juga menggunakan perkataan 'Ltd' dan dari situlah aku menganggarkan tahun keluaran peti ini. Mari kita layan gambar peti kayu Coca-Cola tempatan yang menarik ini.


Peti kayu Coca-Cola kuning, 'MINUM-LAH'.


Tulisan 'MINUM-LAH' yang agak lonjong atau tinggi.
Sesuatu yang jarang kita lihat pada peti kayu Coca-Cola tempatan.


Tulisan Cina di bahagian belakang.



Tertera 'PROPERTY OF LION (MALAYAN) LTD.




Jelas kelihatan kesan kehausan dari tapak botol.


Cuma yang aku masih musykil ialah peti ini digunakan untuk mengisi botol Coca-Cola tempatan dari variasi yang mana?? Adakah botol bertulisan putih yang terawal?? Masih dalam siasatan aku..