Wednesday, November 17, 2010

KINTA AERATED WATER CO. 200ML.

Sebelum memulakan posting terbaru aku ni, ingin aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua.. Sekarang aku berada di Kelantan, beraya sambil jember botol!!

Kinta Aerated Water Co. Ipoh, satu jenama yang tersohor di kalangan para pengumpul botol atau geng-geng botologi. Sebut saja jenama botol ni semua tahu bagaimana rupa botol ini yang biasanya merupakan botol guli(Codd). Botol guli Kinta ni aku pernah dapat lebih sepuluh tahun dulu. Selama itu jugalah aku tak pernah lihat botol Kinta ini dari jenis botol yang lain sehinggalah baru-baru ini di Kelantan. Proses mencarigali tempoh hari mendatangkan hasil yang cukup memberangsangkan iaitu muncul botol Kinta ini dari tanah yang bersaiz 200ml. Itulah kali pertama aku menatap botol Kinta ini dalam bentuk botol soda biasa. Ciri-ciri botol Kinta yang cukup sinonim dengan logo air pancut(Fountain) dapat dilihat pada botol yang berkaca hijau ini. Apa yang menarik tentang botol ini bagi aku adalah saiznya yang kecil(200ml). Tidak kira dari jenama apa sekalipun, botol yang berkapasiti 200ml sebegini amat jarang kita lihat, lebih-lebih lagi botol bercetak kaca timbul atau 'embossed'. Aku pasti 'collector hardcore' di luar sana memiliki botol yang berlainan saiz atau bentuk dari jenama ini. Menjadi lumrah pencinta botol soda jika telah menjumpai botol dari jenama tertentu maka pemburuan untuk botol yang bersaiz atau berbentuk berbeza dari jenama itu pasti berlaku, begitu jugalah pemburuan botol Kinta yang bersaiz 400ml pula menjadi idaman aku. Aku bersama kawan-kawan seperjuangan yang lain telah bertekad untuk memburu seberapa banyak botol-botol yang 'lazat-lazat' sebelum berakhirnya tahun 2010 ini. Beberapa lokasi telah dikenal pasti akan menjadi 'mangsa' kami tidak lama lagi. Kita tunggu dan lihat apakah botol soda yang bakal diperolehi untuk menjadi penutup tahun 2010 ini.

Kinta Aerated Water Co.






Tuesday, November 9, 2010

POH SIEW TAIPING CAP UDANG.

Botol soda ni aku tak pernah dengar atau lihat lagi kewujudannya sehinggalah pada awal tahun ni ada seorang teman menceritakan perihal kewujudan botol ni pada aku, akan tetapi botol yang di ceritakan oleh teman aku tu adalah dari jenis botol guli(Codd). Aku tak pasti dia dah dapat atau masih membedek botol ni sampai sekarang. Sehinggalah baru-baru ni di Kelantan semasa proses mencarigali botol dengan tidak di sangka-sangka muncul juga botol soda cap udang ni di depan mata aku. Ini lah dia botol soda Poh Siew dari Taiping cap udang! Agak menarik kerana aku telah mendapat info tentang botol ni dari awal dan tak berapa lama lepas tu dah nak jadi rezeki aku muncul juga botol ni, walaupun bukannya dari jenis botol guli tapi botol ini adalah satu penemuan yang membanggakan aku dan kawan-kawan seperjuangan yang lain. Botol berkapasiti 200ml ini mempunyai kaca yang tebal dan berwarna hijau. Aku anggarkan botol ni dikeluarkan dalam era 30an lagi berpandukan kepada bentuk botol dan kualiti teknik kaca timbul (embossed) pada botol ini, kerana kebanyakan botol embossed tidak dikeluarkan lagi selepas tahun 40an kerana kewujudan teknologi cetakan dakwat di atas kaca. Tak banyak info aku perolehi tentang botol ni kecuali tempat botol ini di buat kerana di bahagian tapak botol ini ada tertera Made In Europe For H.Wolvil & Co. Ltd Singapore. Memang tidak dinafikan botol-botol soda pada waktu dulu di buat di negara luar dan di import oleh syarikat dari Singapura dan juga negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Maka dengan penemuan botol ini sudah tentulah menyemarakkan lagi usaha aku untuk mendapatkan botol yang berlainan saiz ataupun botol guli dari jenama ini. Pencarian dah pun di mulakan oleh aku dan kawan-kawan, cuma hasilnya belum lagi. Bab kata pepatah lah, kalau dah jodoh tak kemana..

POH SIEW TAIPING CAP UDANG.