Monday, January 31, 2011

SCHWEPPES BOTOL HIJAU BESAR-VARIASI.

Sebelum aku teruskan posting terbaru ini, ingin aku ucapkan tahniah di atas kejayaan Hi Tea Botologi yang diadakan pada 29hb yang lepas. Ribuan terima kasih kepada yang terlibat dalam menjayakan acara ini dan juga kepada ahli-ahli Botologi, para collector dan blogger yang hadir menjayakan Hi Tea Botologi ini. Aku amat terkejut dan terharu kerana ramai yang datang memberi sokongan. Bagi aku acara yang lepas adalah satu titik permulaan untuk kita mengangkat mertabat pengumpulan botol soda tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi. Membuka mata atau minda orang ramai yang kita serius dan amat meminati apa yang kita kumpul khususnya pengumpulan botol soda. Semakin ramai ahli-ahli botologi(simpan botol) yang aku lihat sekarang ini yang akan menambahkan lagi seri dalam arena pengumpulan botol soda tempatan. Botol-botol soda yang merupakan sebahagian dari sejarah kita ini perlu dibongkar dan ditemui bukan sahaja untuk simpanan atau koleksi kita sendiri tapi juga untuk masyarakat dan juga untuk generasi yang akan datang agar mereka dapat ketahui kehebatan sejarah dalam industri minuman soda negara kita. Walaupun bukan semua orang yang meminati pengumpulan botol soda ini tapi aku percaya semua orang mengenali botol soda dan pernah meminum air botol soda ini kerana ia adalah sebahagian dari kehidupan setiap orang. Dalam erti kata lain, dalam tidak sedar botol soda ini amat rapat dengan setiap orang. Akhir sekali, moga-moga akan ada lagi aktiviti sebegini di masa hadapan tidak kira dari Selangor, KL atau mana-mana negeri dari Selatan, Utara dan juga Pantai Timur. Syabas semua yang terlibat!!

Paparan kali ini adalah mengenai variasi botol besar Schweppes yang berkaca hijau yang aku ada. Mari kita lihat perbezaan yang ada pada botol soda yang hebat ini. Gambar paling kanan telah aku paparkan pada entri yang lepas.

SCHWEPPES BESAR BOTOL HIJAU.


Botol paling kiri.
Tiada label di leher botol ini.




Botol tengah.






Label di leher.
Setakat ini aku hanya ada tiga jenis variasi botol Schweppes besar berkaca hijau ini. Jika ada ahli-ahli botologi yang mempunyai lebih variasi atau info mengenai botol ini, entri atau info anda amat dialu-alukan.

Friday, January 28, 2011

T-SHIRT BOTOLOGI MALAYA SUDAH MENJADI REALITI !

Semalam semasa sesi mesyuarat terakhir para-para ajk hi-tea botologi di Shah Alam, kami dikejutkan juga oleh bro Sham kita dengan membawa t-shirt Botologi Malaya! Dah siap rupanya semalam! Maka t-shirt Botologi Malaya sudah menjadi realiti, sekarang hanya menanti Botologi Hi Tea sahaja menjadi realiti! Jumpa anda semua di sana esok!!


T-shirt Botologi Malaya yang
diperagakan oleh model kita!


Sunday, January 23, 2011

COCA-COLA EMBOSSED HOBBLE SKIRT.

Atas permintaan seorang teman yang meminati botol-botol Coca-Cola terutama botol Coca-Cola yang berbentuk Hobble Skirt, aku paparkan sekali lagi botol Coca-Cola Hobble Skirt yang aku telah jumpai penghujung tahun lepas. Tapi sebelum itu mungkin ada yang belum tahu apa itu Hobble Skirt. Hobble skirt adalah sejenis pakaian perempuan yang merupakan skirt yang ketat di bahagian lutut dan kembang di bahagian bawah yang amat terkenal dalam era lewat 1800 hingga awal 1900. Dalam waktu ini juga syarikat Coca-Cola dalam peringkat mengubah reka bentuk botol untuk strategi pemasaran yang lebih efisyen. Maka timbul idea untuk membuat botol ini mirip bentuk Hobble skirt yang amat terkenal pada waktu itu.

Hobble skirt

Diperingkat awal, inilah bentuk botol Coca-Cola Hobble skirt yang terawal(Gambar A), sehinggalah ia berubah bentuk menjadi botol Coca-cola 'contour embossed' yang kita dapati di Malaya satu ketika dulu(Gambar B).

(A)

Dan inilah (Gambar B & D) botol yang aku jumpai penghujung tahun lepas. Masih mirip bentuk Hobble skirt kerana bentuknya yang besar di tengah dan agak ramping di bahagian bawah serta mempunyai tulisan yang agak kelakar bagi aku kerana bentuknya yang tidak rata atau tidak tepat(Gambar C), tidak sama seperti botol Coca-Cola contour embossed yang biasa kita lihat seperti botol Coca-Cola embossed SG40 atau yang bertanda MSG kerana botol ini mempunyai huruf 'C' yang lebih kelakar!!

(B)
(C)
(D)


Aku masih tidak pasti pada tahun berapaka botol Coca-Cola yang aku jumpa ini dihasilkan dan aku cuba mencari botol Coca-Cola yang seakan-akan botol aku di internet dan hasilnya aku menjumpai gambar botol ini(Gambar kanan). Botol Coca-Cola embossed ini adalah dari Panama, Amerika Selatan dan dikeluarkan dalam tahun 1915. Akan tetapi di bahagian perut botol aku ini aku rasa lebih besar dari botol Panama ini. Adakah botol aku ini dikeluarkan dalam tahun yang sama? lebih lama atau lebih baru?? Aku masih tak pasti..

Friday, January 21, 2011

T-SHIRT BOTOLOGI MALAYA.

Sempena acara hi tea yang akan diadakan nanti pada 29hb ni aku dan kawan-kawan ada terfikir untuk buat t-shirt. Saja suka-suka untuk aku dan empat orang lagi kawan-kawan pakai pada hari tersebut. Pada malam aku, Sham dan en. Mat kita pergi jumpa en. Lan tauke Ipoh Station Antique Cafe untuk bincangkan hal hi tea ni, aku bagitaulah pasal aku buat t-shirt tu. Maka en.Lan pun berminat juga untuk pakai baju tu.. Dah ditempahnya juga dalam sepuluh helai. Maka dah alang-alang buat tu, aku lebihkan lagi dalam tujuh belas helai. Jadi siapa-siapa yang berminat untuk memiliki baju ni boleh lah membuat tempahan. Terhad kepada 17 helai sahaja.
11 helai bersaiz (L) dan 6 helai saiz (XL). Harga RM35 untuk sehelai. Siapa-siapa yang dalam KL tu boleh datang ambil t-shirt ni pada 28hb dan yang luar dari KL boleh mendapatkan t-shirt ni pada 29hb di Ipoh Station Antique Cafe. Pembayaran boleh dibuat semasa mengambil baju ni nanti. Sesiapa yang berminat boleh tinggalkan nama dan saiz baju di ruangan komen.


Pandangan depan.




Pandangan belakang.

Wednesday, January 19, 2011

SCHWEPPES TONIC WATER BESAR.

Schweppes satu jenama tertua yang tersohor dalam industri air soda dan amat terkenal juga di kalangan pencinta botol soda atau geng botologi. Jenama ini juga terkenal dalam bentuk botol 'Torpedo'. Paparan kali ini bukanlah dari botol Schweppes 'Torpedo' tapi aku ingin berkongsi dengan anda semua pencinta botol soda iaitu botol Schweppes berbentuk biasa atau disebut 'Straight side' dalam bahasa inggeris, berkaca hijau dan berlabel cetakan kuning. Satu kombinasi warna yang menarik bagi aku, menyerlahkan label botol ini. Kalau sebelum ini aku pernah dapat yang bersaiz 200ml, bentuk, warna dan label yang sama, tapi kali ini yang bersaiz besar pula. Isian air untuk botol ni aku anggarkan dalam 285ml hingga 300ml kerana tiada tertera pada botol ini.


SCHWEPPES
TONIC WATER.



Tulisan Schweppes tidak berwarna,
berlatar belakang kaca hijau botol ini.



Di bahagian bawah sekali cetakan kaca timbul tertera Schweppes.

Apa yang aku tahu botol Schweppes ini mempunyai banyak variasi khususnya yang dipasarkan di Malaya satu ketika dulu. Satu jenama air soda yang mempunyai seni rekaan yang eksklusif dan amat menarik!

Tuesday, January 11, 2011

BERAPA MILILITERKAH ISIAN BOTOL COCA-COLA MALAYA NOMBOR 2??

Bagi geng-geng botologi yang memiliki botol Coke Malaya nombor 2 ini, pernahkah anda terfikir berapakah mililiterkah isian air dalam botol ini kerana tiada langsung tertera pada botol ini. Anggaran kasar aku adalah 290ml kerana mengikut isian dari variasi botol selepas botol ini. Ternyata anggapan aku meleset! Jadi berapa mililiterkah sebenarnya isian air dalam botol Coke Malaya nombor 2 ini?? Mari kita lihat..

Coke Malaya No.2.



Ya! Anda nampak sekarang?? Tertera: CONT 295
Botol Coke No.2 Malaya ini mempunyai cetakan 'embossed' TG145 dan bukannya SG220!

Saturday, January 1, 2011

COKE LOCAL NO. 2 MALAYA ERROR!!

Selamat tahun baru 2011 blogger-blogger dan ahli-ahli botologi semua. Semoga damai dan sejahtera menyertai langkah kita, penuh semangat dan jaya.(petikan kata-kata dari rakan seperjuangan).

Sempena entri pembuka tirai 2011 ini aku ingin berkongsi dengan rakan-rakan botologi semua tentang botol Coke no. 2 Malaya yang aku perolehi baru-baru ini. Inilah kali pertama aku menjumpai botol Coke no.2 Malaya dalam keadaan sedikit kesalahan(error) pada cetakan logo tulisan Coca-Cola. Mari kita perhatikan kesalahan yang dilakukan oleh tukang cetak botol ini lebih kurang lima dekad yang lalu.


Botol Coke No.2 Malaya.. Anda nampak kesalahannya??


Botol ini aku dah letakkan betul-betul lurus dengan kamera aku tapi nampak masih senget kan?? Ini kerana cetakan logo Coca-Cola pada botol ini tidak selari dengan cetakan embossed Trade Mark Registered di bawah.



Dalam gambar ini kita boleh lihat cetakan logo Coca-Cola telah melebihi tulisan embossed di bawah, hampir mengenai tulang botol ini.




Ini kes macam biasa la.. Tukang cetak ni tersengguk-sengguk masa kerja ni akibat tak cukup tido!!