Namanya sahaja 'Southern' yang bermaksud Selatan telah jelas menunjukkan negeri kelahiran botol ini yang merupakan negeri di Selatan tanah air iaitu Johor atau lebih tepat bandar Johor Bahru. Kombinasi warna grafik iaitu kuning dan merah merupakan strategi yang tepat oleh pereka grafik kerana warna ini memang menyerlah dan menarik perhatian kita. Selain dari itu kualiti cat atau dakwat yang digunakan amat baik kerana setelah terbenam di dalam tanah lebih tiga dekad logo pada botol era 60an ini masih lagi dalam keadaan yang cukup baik. Keretapi berkuasa wap menjadi pilihan pereka grafik dan kita boleh faham zaman dahulu keretapi merupakan salah satu kenderaan pengangkutan yang amat penting selain dari itu mungkin juga untuk menampakkan kekuatan dan gah air soda ini kepada orang ramai. Masih lagi dengan koleksi 200ml kerana kebanyakan yang aku keluarkan dari tanah adalah dari Pantai Timur dan aku sendiri tidak tahu kenapa saiz 200ml ini begitu sinonim di sebelah sana. Saiz 400ml pula tiada dalam simpanan dan aku percaya ada pengumpul botol diluar sana menyimpan versi 400ml botol ini. Variasi lain dari botol ini juga tidak pernah aku lihat dan kemugkinan besar masih ada lagi versi-versi lain dari jenama ini.
Southern Aerated Water Co.
Johore Bahru.
Logo Keretapi Berkuasa Wap
Tertera: This Bottle Belongs to Southern Aerated Water Co. Johore Bahru.
Khabarnya kilang Southern ini masih ada di Johor Bahru samada ianya masih beroperasi atau tidak aku tak pasti. Tugas geng Botologi dari Johor untuk buat siasatan. Kalau ada hasil hulur-hulur lah bro!