Wednesday, September 28, 2011

TIN JOOI WAH, KAJANG.

Demam raya dah kebah, 'mood' raya pun dah beransur, bak kata En.Mat, kepenatan! Jadi untuk memulakan kembali paparan koleksi botol-botol soda Malaya ni aku mulakan dulu dengan jenama ringan-ringan sebagai 'starter'.

Kali ini paparan aku adalah botol soda dari Tin Jooi Wah Kajang yang ditemui pada sesi jalan-jalan cari kerepek di Tanjung Karang tahun lepas. Mungkin jenama ini tidak se gah jenama-jenama lain yang ada sekarang tapi dahulu jenama ini adalah antara jenama yang memeriahkan industri air soda di Selangor dan juga tanah air. Ada beberapa lagi variasi botol dari jenama ini seperti jenis cetakan pada kaca(Printed) yang telah wujud sebelum merdeka lagi akan tetapi botol ini bukanlah botol lama tetapi botol yang terbaru atau mungkin juga keluaran terakhir dari jenama cap burung helang ini kerana aku dah tak nampak lagi jenama ini dijual dimana-mana kedai runcit atau atau kedai kopi di kawasan kampung. Menggunakan label kertas, teknologi cetakan ini telah wujud sebelum teknik cetakan di atas kaca lagi dan sekarang diguna pakai kembali kerana ia menjimatkan kos.

Botol soda dari Kajang ini tidaklah dalam kondisi yang paling baik tetapi sudah cukup baik untuk kita melihat grafik pengiklanan pada botol ini yang mana bagi aku ianya cukup menarik.


Ais krim Soda Cap Helang Kajang.




Wednesday, September 14, 2011

PETI KAYU KUNING 'MINUM-LAH'

Sudah lama aku tak bersiaran, makhlumlah berhari raya sakan, baru minggu ni keadaan agak reda sikit dari melayan 'open house' di rumah kawan-kawan. Balik kepada tajuk di atas, bila sebut sahaja pasal variasi sudah tentu ramai pengumpul terutama yang mengumpul botol, gelas atau yang seangkatan dengannya akan cenderung untuk mencari variasi sesuatu barangan yang dikumpul samada dengan sengaja atau tidak termasuklah aku. Variasi atau siri sesuatu barangan yang aku maksudkan sebagai contoh botol. Misalnya botol Coca-Cola, apabila telah menjumpai sesuatu model atau jenis kita tidak akan berhenti di situ sahaja, kita akan cenderung untuk mencari lagi jenis-jenis lain samada perbezaan dari sudut bentuk atau grafik pada botol itu. Aku selalu tertarik kepada perbezaan grafik pada botol kerana perbezaan ini selalunya berkait rapat dengan tarikh atau masa barangan itu dikeluarkan, semakin lama semakin berbeza kerana cara pengiklanan diubah mengikut kesesuaian masa.

Kali ini aku bukan hendak bercerita tentang botol, tetapi peti kayu untuk mengisi botol(Crate).
Sejak awal menjerumuskan diri dalam mengumpul botol ini satu jenis peti kayu sahaja dari jenama Coca-Cola yang aku tahu iaitu yang berwarna merah bertulisan putih. Makin lama beberapa variasi lain aku jumpai dengan tidak sengaja. Semenjak dari itu pemburuan untuk variasi yang lain menjadi fokus aku. Apa yang aku tahu setelah lama dalam bidang ini, peti kayu Coca-Cola yang berwarna kuning adalah lebih lama dari yang berwarna merah seperti gambar di bawah. Jika kita lihat peti kayu dari barat pun antara peti kayu yang terawal adalah yang berwarna kuning bertulisan merah.

Apa yang menarik tentang peti ini adalah tulisan grafiknya yang tertulis 'MINUM-LAH'. Jika sebelum ini peti yang aku jumpai yang berwarna kuning tertera 'Drink' dan aku sama sekali tidak menyangka tulisan dalam bahasa melayu wujud pada peti berwarna kuning ini. Aku anggarkan tahun peti ini dikeluarkan antara tahun 60an keatas berpandukan kepada cetakan grafik pada tepi peti ini yang tertera 'Property of Lion (Malaya) Ltd'. Ini kerana perkataan 'Ltd' atau 'Limited' tidak lagi digunakan pada peti kayu yang dikeluarkan dalam tahun 70an keatas dimana ia telah digantikan degan perkatan 'Sdn. Bhd'(Sendirian Berhad) atau gabungan 'Pte. Ltd'. Aku juga pernah menjumpai peti F&N yang tertera tahun dikeluarkan iaitu 1964 yang juga menggunakan perkataan 'Ltd' dan dari situlah aku menganggarkan tahun keluaran peti ini. Mari kita layan gambar peti kayu Coca-Cola tempatan yang menarik ini.


Peti kayu Coca-Cola kuning, 'MINUM-LAH'.


Tulisan 'MINUM-LAH' yang agak lonjong atau tinggi.
Sesuatu yang jarang kita lihat pada peti kayu Coca-Cola tempatan.


Tulisan Cina di bahagian belakang.



Tertera 'PROPERTY OF LION (MALAYAN) LTD.




Jelas kelihatan kesan kehausan dari tapak botol.


Cuma yang aku masih musykil ialah peti ini digunakan untuk mengisi botol Coca-Cola tempatan dari variasi yang mana?? Adakah botol bertulisan putih yang terawal?? Masih dalam siasatan aku..